Khamis, Januari 20, 2011

Sepak takraw kembali kepada kiraan 15 mata

 sumber Utusan Malaysia  20/01/2011

APAKAH PANDANGAN ANDA UNTUK NEGARA ADAKAH BAIK ATAU TIDAK ..? ATAU HANYA BAIK UNTUK NEGARA LUAR.?

KUALA LUMPUR - Kiraan 21 mata dikembalikan kepada 15 mata, servis tiga kali berturut-turut walaupun tanpa mata dan tiga set mampu diheret menjadi lima set ialah antara ciri-ciri wajah baru permainan sepak takraw di seluruh dunia dalam tempoh 60 hari akan datang.
Malah garisan tengah di bawah jaring juga bakal bebas dipijak pemain ketika permainan sekali gus tidak lagi membatalkan mereka, menurut pindaan undang-undang permainan terbaru yang diluluskan Kongres Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Bangkok, Isnin lalu.
Timbalan Presiden I Istaf yang menghadiri mesyuarat Kongres itu, Datuk Ahmad Ismail berkata, sesebuah regu masih boleh diisytiharkan sebagai pemenang, sekiranya terlebih dulu memenangi tiga daripada lima set perlawanan yang ditetapkan.
"Sepak takraw akan kembali menggunakan kiraan 15 mata tetapi mata masih boleh dikutip mana-mana regu walaupun tanpa servis. Jika terikat 14-14 dalam sesebuah set, pemenangnya akan ditentukan dengan perbezaan dua mata selepas itu dan mata maksimum ialah 17.
"Bagi servis pula, tekong regu yang memulakan permainan akan melakukannya sebanyak tiga kali berturut-turut walaupun mereka tidak mendapat sebarang mata dan akan bergilir-gilir dengan regu lawan selepas itu," katanya yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).
Katanya kepada Utusan Malaysia, mana-mana pemain hanya dikira batal sekiranya terpijak garisan gelanggang bawah jaring ketika bola dilambung oleh apit kanan atau kiri kepada tekong yang mahu membuat servis.
Peraturan baru Istaf ini akan dikuatkuasakan dalam tempoh 60 hari mulai Isnin lalu, dengan Kejohanan Dunia Pertama Istaf di Kuala Lumpur dari 20 hingga 24 Julai ini dijangka menjadi pertandingan antarabangsa pertama yang menyaksikan perubahan besar itu.
Selain itu, pindaan undang-undang sepak takraw turut melibatkan penggunaan dua pemain gantian bagi acara antara regu berbanding hanya seorang sekarang malah mereka yang sudah dikeluarkan, masih boleh masuk kembali bermain.
"Bagaimanapun dalam acara berpasukan, hanya seorang pemain bagi setiap regu yang boleh digantikan dan untuk tidak membebankan mana-mana negara, hanya 12 pemain yang boleh didaftarkan, bukan lagi 15 seperti sekarang," katanya.
Mengenai Kejohanan Dunia Istaf, Ahmad berkata, beliau berhasrat melangsungkannya di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan majlis pelancaran awal dirancang diadakan di sebuah hotel juga di ibu kota pada 11 Februari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

hak cipta terpelihara.

Ukur BMI Anda