Keadaan ibu dan susu
- Kelahiran - Susu anda berwarna kuning atau keemasan. Jumlahnya mungkin sedikit tetapi mencukupi buat bayi anda untuk memberikan perlindungan terhadap penyakit. Anda akan berasa letih tetapi seronok atas kehadiran ‘orang baru’. Masa yang sangat sesuai untuk memulakan penyusuan.
- 12-24 jam selepas kelahiran - Bayi anda akan minum lebih kurang 1 sudu kecil susu anda setiap kali menyusu. Jumlahnya mencukupi untuk keperluan bayi anda. Pastikan rehat mencukupi dan eratkan hubungan anda dan bayi. Payudara mungkin terasa lembut sedikit. Jika proses penyusuan menyakitkan, dapatkan bantuan daripada individu yang pernah membantu ibu-ibu menyusu. Penyusuan bayi tidak sepatutnya menyakitkan.
- Hari ke 2-5 selepas kelahiran – Susu matang anda akan terbentuk. Warnanya seakan putih kebiru-biruan dan mungkin akan kelihatan kuning keemasan sedikit selama 2 minggu. Payudara anda akan terasa penuh dan mungkin keluar meleleh. Anda boleh menggunakan pad pakai buang atau yang boleh dibasuh di dalam baju dalam anda untuk menyerap lelehan susu. Jika payudara bengkak dan keras, keluarkan sedikit susu sebelum menyusu bayi anda. Dalam tempoh senggang masa penyusuan, gunakan ais untuk mengurangkan bengkak yang biasanya hilang dalam 1-2 hari. Penyusuan bayi akan membantu menghilangkan bengkak.