SUKAN DAN PERKEMBANGAN PSIKOLOGI KANAK-KANAK
SOSIALISASI SUKAN
Faktor sosiobudaya mempengaruhi penyertaan atlet remaja
dan wanita dalam sukan. Dalam konteks budaya, sukan dianggap sebagai satu wadah
sosialisasi. Sosialisasi merupakan proses di mana anggota masyarakat saling
berkomunikasi dan berinteraksi di antara satu sama lain serta menentukan
peranan yang mesti dimainkan oleh setiap anggota masyarakat untuk menjadi ahli
masyarakat tersebut.
Secara tradisinya, penyertaan dalam
sukan untuk kaum lelaki dan wanita sudah lama terbentuk. Kita boleh lihat
bagaimana pembahagian serta jenis-jenis sukan mengikut jantina terbentuk dalam
masyarakat kita. Bagaimanapun, bagi wanita yang melibatkan diri dalam sukan
secara aktif, mereka sebenarnya telah melangkah batas norma yang telah
ditetapkan oleh masyarakat, khususnya dalam sukan yang kompetitif selepas
baligh.
Menurut Eccles dan Harold (1991),
terdapat tiga cara individu dipengaruhi untuk menyertai sukan dan aktiviti fizikal
iaitu faktor sosialisasi,situasi dan persekitaran dan faktor peribadi. Faktor
sosialisasi merujuk kepada proses interaksi antara individu. Dalam konteks
sukan, pengaruh sosialisasi individu yang signifikan dalam kehidupan seseorang
kanak-kanak lelaki atau perempuan mempengaruhi penglibatan mereka dalam sukan
(Greendorfer, 1992). Antaranya dorongan kedua ibu bapa serta pengaruh saudara
tua (abang atau adik) turut mempengaruhi penglibatan dalam sukan (Eccles &
Harold, 1991) ; Greendorfer, 1992).
FAKTOR SOSIALISASI DALAM PENGLIBATAN SUKAN KANAK-KANAK.
Proses sosialisasi adalah ruang untuk
individu bersosial dan saling berinteraksi dengan orang lain. Melalui proses
ini, kita saling mengenali, mempelajari budaya dan menyesuaikan diri menjadi
ahli dalam sesebuah masyarakat tersebut.Proses
sosialisasi ini berlaku dengan dua cara iaitu proses sosialisasi ke dalam sukan
dan proses sosialisasi melalui sukan.
Faktor pertama berlakunya proses sosialisasi
ke dalam sukan ialah sukan dapat mempengaruhi pemindahan budaya sukan kepada
seseorang individu. Misalnya dalam berpakaian. Sukan badminton adalah contoh
yang jelas proses sosialisasi ke dalam sukan berlaku iaitu melalui pakaian
pemain yang ditaja oleh Yonex. Maka dengan role model seperti Lee Chong Wei
yang memakai pakaian tersebut, orang ramai yang meminatinya dan meminati sukan
ini akan menggunakan jenama Yonex sebagai lambang semangat kesukanan di dalam
diri individu terbabit.
Di samping itu, berlakunya proses sosialisasi
ke dalam sukan ialah sukan dapat mendisiplinkan seseorang. Di mana setiap sukan
yang wujud mempunyai peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi semasa sukan
tersebut dimainkan. Dengan wujudnya peraturan sebegini maka individu yang
terlibat secara langsung ke dalam sukan ini akan mempraktikkan sikap
berdisiplin ini ke dalam diri mereka semasa bersukan. Maka, penerapan disiplin
sebegini mempengaruhi sikap individu terbabit.
Selain itu, proses sosialisasi ke dalam sukan
berlaku apabila kita menerima norma-norma dalam institusi sukan tersebut.
Biasanya semasa bersukan kita akan lebih menghormati ketua pasukan. Rasa hormat
yang wujud dalam diri individu kepada ketua pasukan menyebabkan kita terikut-ikut
nilai yang ada pada dirinya. Misalnya, jika ketua pasukan kita menegah untuk
tidak merokok maka sikap merokok di depan ketua tidak akan diamalkan.
Seterusnya, proses sosialisasi ke dalam sukan
berlaku hasil daripada interaksi antara ahli pasukan dalam institusi sukan
tersebut. Penglibatan dalam sukan membolehkan individu tersebut saling
berinteraksi dengan ahli pasukan yang lain. Hal ini dapat ditunjukkan melalui
kebebasan bersuara di kalangan ahli persatuan. Misalnya, jika kita tidak berpuas
hati terhadap sesuatu pentadbiran persatuan kita boleh mengemukakan idea tanpa
rasa bersalah.
Proses sosialisasi ke dalam sukan juga
berlaku berdasarkan pembentukan atlet dalam acara yang dipertandingkan. Atlet
yang dipilih untuk bertanding dalam sesuatu acara akan dipilih berdasarkan
kemahiran dan sifat fizikal yang dimiliki. Misalnya, orang yang tinggi dan
kurus cenderung terlibat dengan lompat jauh, bola tampar manakala bagi orang
gemuk pula cenderung kepada acara sukan seperti lontar peluru dan bagi orang
yang berotot cenderung kepada bole sepak, lari pecut.
Proses sosialisasi yang kedua adalah proses sosialisasi melalui sukan.
Faktor utama proses sosialisasi melalui sukan ialah sukan sebagai alat
mensosialisasikan individu terbabit. Elemen-elemen yang terdapat dalam
peraturan sukan seperti sikap bekerjasama, berdisiplin, saling menghormati di
antara individu serta mematuhi undang-undang dan peraturan dapat membantu untuk
pembentukan sifat peribadi individu itu sendiri. Melalui sukan sikap individu
dapat di bentuk dengan menunjukkan sikap yang baik, nilai-nilai murni,
tingkahlaku yang terpuji dan kepimpinan individu terserlah. Melalui sukan juga
perwatakan individu boleh berubah misalnya, jika dahulu seorang individu itu
pendiam maka dengan mengikuti aktiviti sukan individu tersebut bertukar menjadi
orang yang agresif. Tindakan agresif ini dapat dilihat dalam sukan ragbi dan
gusti.
Di samping
itu, proses sosialisasi melalui sukan ialah sukan sebagai alat untuk
mengintegrasikan atlit-atlit atau ahli-ahli. Dalam pasukan tersebut akan
terbentuk sikap saling membantu dan sentiasa memastikan pasukan menang dalam
pertandingan sukan dengan mengamalkan sikap saling membantu. Sikap ini akan
mewujudkan perpaduan di kalangan ahli-ahli pasukan.
Selain itu,
proses sosialisasi melalui sukan ialah sukan tersebut berunsurkan motivasi
kejayaan. Pasukan atau individu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai
kemenangan dalam pertandingan. Motivasi yang diterima sama ada berbentuk
motivasi intrinsik atau pun motivasi ekstrinsik. Melalui motivasi dalam
aktiviti sukan tersebut individu atau kumpulan pasukan akan bersama-sama untuk
mengharumkan nama negara dan keluarga. Semangat ini didapati berkesan
untuk mendorong atlet mencapai kejayaan
dalam sesuatu pertandingan. Misalnya dalam sukan badminton dan skuasy.
Seterusnya,
proses sosialisasi melalui sukan juga ialah sukan sebagai alat pertahanan diri.
Individu akan bersukan adalah untuk mempertahankan diri sama ada untuk
mempertahan diri sendiri atau organisasi atau pun disebabkan faktor lain. Dengan mempelajari kemahiran yang terdapat
melalui sukan tersebut maka individu tersebut berasa lebih selamat. Misalnya
individu boleh mempelajari seni mempertahankan diri dalam sukan seperti karate
do, taekwondo, menembak dan memanah.
Kesimpulannya,
sosialisasi sukan melibatkan individu dan juga agen-agen sosialisasi hasil
daripada proses sosialisasi ke dalam sukan dan proses sosialisasi melalui
sukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan