Selasa, Mei 11, 2010

CIPTAAN TEMPATAN

Pensyarah UTM cipta alat uji tahap ketangkasan diri


Abdul Hafiz Omar (kiri) memerhatikan Ahmad Syukri Muhammad yang menguji alat penguji ketangkasan Puzzle Heksagon di UTM Skudai, semalam.


JOHOR BAHRU 10 Mei - Ingin mengetahui tahap ketangkasan atau kelajuan pergerakan tubuh badan sendiri?
Semua itu dapat diukur menerusi Alat Pengujian Ketangkasan Puzzle Heksagon, rekaan inovasi terbaru oleh penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini.
Alat tersebut dihasilkan oleh Ketua Jabatan Terapi dan Rehabilitasi Fakulti Kejuruteraan Biomedikal, Prof. Madya Dr. Abdul Hafiz Omar dua tahun lalu.
Menurut Abdul Hafiz, produk itu dibuat berdasarkan prinsip lompatan heksagon iaitu lompatan pada enam arah pergerakan.
"Tujuan alat ini untuk mengukur tahap ketangkasan pergerakan badan ke pelbagai arah dalam keadaan stabil dan seimbang.

"Ketangkasan merupakan satu elemen penting dalam sukan. Alat ini boleh membantu untuk mengenal pasti bakat awal kanak-kanak dalam sukan- sukan tertentu," katanya pada sidang akhbar memperkenalkan produk itu hari ini.
Menurutnya, produk yang sedang menunggu kelulusan untuk mendapat hak milik paten itu telah diuji kepada 100 pelajar tingkatan satu Sekolah Sukan Bandar Penawar.
Hasil ujian tersebut, katanya, hampir kesemua daripada mereka mempunyai potensi untuk menyertai sukan nasional.
"Apabila seseorang itu mempunyai tahap ketangkasan cemerlang, mudah untuk tempatkan mereka dalam sukan yang memerlukan pergerakan tubuh badan yang pelbagai arah dengan baik. Contohnya, sukan skuasy, badminton, tenis, judo dan karate," katanya.
Beliau yang turut dibantu oleh penyelidik, Ahmad Syukri Muhammad dan Khairuddin Hassan berkata, masa ujian yang dibuat dirujuk berdasarkan norma yang dikeluarkan oleh Arnot R and Gaines C (2005) yang telah diprogramkan di dalam alat tersebut.
Katanya, alat yang mendapat penghargaan pingat emas dan Anugerah Terbaik dalam pertandingan Malaysia Teknologi Ekspo (MTE) 2010 itu boleh dijadikan sebagai pengganti kepada ujian ketangkasan manual pada masa akan datang.
Pada majlis itu, Abdul Hafiz turut memperkenalkan satu lagi rekaannya iaitu Blow Ball-Multi Games Breathing Excercise.
"Ia merupakan satu alat berbentuk permainan yang menggalakkan pemain untuk mengawal dan melatih teknik pernafasan bagi meningkatkan tahap prestasi sukan.
"Setiap kapasiti hembusan diukur melalui satu alat pengesan digital yang digabungkan bersama paip yang digunakan untuk permainan," katanya.
Menurutnya, alat yang diperbuat daripada kerangka kayu berbentuk segi empat seperti meja snooker dan mempunyai lapan lubang itu boleh dibuka dan ditutup mengikut permainan.
Antara permainan yang boleh dianjurkan menggunakan peralatan seperti batang paip dan bola plastik itu adalah bola sepak, karom, snooker, biliard dan bola padang.


Di petik dari sumber..: utusan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

hak cipta terpelihara.

Ukur BMI Anda