Sukan olahraga dunia pada tahun 2009 telah memperagakan aksi yang sangat memberangsangkan dengan terciptanya beberapa rekod dunia terutamanya dalam acara pecut 100m dan 200m. Usain Bolt sekali lagi mencuri tumpuan dengan aksi penuh keluarbiasaan apabila hanya dalam tempoh kurang daripada 14 bulan, Bolt telah mencipta enam rekod dunia iaitu tiga kali dalam acara 100m (9.72s, 9.69s dan 9.58s), dua kali dalam acara 200m (19.30s dan 19.19s) dan sekali dalam acara 4x100m (37.10s). Pencapaian sebegini amatlah diluar jangkaan ‘kemampuan’ manusia apabila para pengkaji sebelum ini hanya meramal bahawa manusia hanya akan berlari dalam lingkungan 9.5s (maksimum) tetapi memerlukan masa yang agak lama dan peningkatan akan berlaku secara beransur-ansur.
Jika dikaji sejarah rekod dunia acara 100m lelaki, rekod pertama yang dicatatkan bawah 10s menggunakan pencatat masa elektronik adalah pada tahun 1968 dengan catatan 9.95s iaitu dilakukan di kawasan beraltitud tinggi di Mexico City oleh Jim Hines dari Amerika Syarikat. Rekod dunia itu bagaimanapun telah direndahkan beberapa kali oleh beberapa pelari daripada Amerika Syarikat, Kanada dan Jamaica. Antara yang telah berjaya memecahkan rekod dunia itu termasuklah Calvin Smith (9.93s-1983), Carl Lewis (9.93s-1987, 9.92s-1988, 9.86s-1991), Leroy Burrell (1990-1991, 9.85s-1994), Donavon Bailey (9.84s-1996), Maurice Greene (9.79s-1999), Asafa Powell (9.77s -2005, 9.77s-2006, 9.77s-2006, 9.74s-2007) dan juga Usain Bolt. Atlit lagenda Amerika Syarikat, Carl Lewis, telah Berjaya menyamai dan memecahkan rekod dunia pada era 80-an dan yang terakhir pada tahun 1991 di Tokyo dengan catatan 9.86 saat. Ketika itu, teknologi dalam bidang sukan dan pengaplikasian aspek sains sukan masih lagi terhad. Pada tahun 1999, Maurice Greene dari Amerika Syarikat telah berjaya memecahkan rekod dunia dengan catatan 9.79s iaitu 0.05saat lebih pantas daripada rekod Donavon Bailey dari Kanada sebelum itu. Pencapaian itu telah mencipta satu lagi catatan sejarah dalam rekod dunia lelaki kerana ia adalah margin yang paling besar pernah tercipta sebelum kelibat Usain Bolt pada tahun 2008 dalam acara 100m. Catatan masa Maurice Greene itu juga sebenarnya telah menyamai pencapaian rekod dunia Ben Johnson dari Kanada yang telah dibatalkan disebabkan Johnson telah disahkan positif menggunakan bahan perangsang terlarang iaitu Anabolik Steroid.
Para saintis sukan meramalkan yang rekod dunia itu akan dipecahkan secara berterusan tetapi hanya melibatkan margin yang kecil. Pada tahun 2002, jurulatih Amerika Syarikat, John Smith dan Trevor Graham meramalkan bahawa rekod dunia acara 100m lelaki pada tahun itu akan digugat samada oleh Maurice Greene atau Tim Montgomery. Tidak lama kemudian, Tim Montgomery yang berlari dengan gaya klasik pada ‘world athletics final’ di Berlin, dengan kekerapan putaran langkah (turn-over) yang sangat pantas dan ‘pendek’. Ini telah membawa satu lagi rekod dunia baru iaitu denagn catatan 9.78s (ramalan para saintis sebelum ini mengenai margin adalah tepat). Rekod dunia terus dipecahkan oleh Asafa Powell beberapa kali tetapi dengan margin yang amat kecil. Namun, tahun 2008 telah membuka lembaran baru dalam sukan olahraga dunia. Usain Bolt sememangnya tidaklah begitu asing dalam olahraga. Pada usia hampir menjangkau 16 tahun, Bolt telah pun berjaya menjadi seorang juara remaja dunia dalam acara 200m. Ketinggian tubuhnya yang ketika itu telah menjangkau 1.96m (6’5) jelas telah membantunya berlari dengan catatan 20.52s pada usia tersebut. Catatan masa itu sebenarnya jauh lebih baik berbanding kebanyakan rekod kebangsaan acara 200m di dunia termasuk negara Malaysia. Apabila usianya telah menjangkau 19 tahun, Bolt telah mencantas rekod remaja dunia, 20.13s milik Roy Martin dari Amerika Syarikat yang dilakukan pada 1987 dengan catatan 19.93s. Walaubagaimanapun, Bolt tidak dapat meneruskan kegemilangannya itu apabila selepas itu telah ditimpa kecederaan yang mana membantutkan prestasinya dalam tahun 2004 dan 2005 walaupun berjaya layak ke peringkat akhir acara 200m dalam kejohanan olahraga dunia di Helsinki pada tahun 2005. Tahun 2007 merupakan langkah pertama Bolt menjadi seorang juara apabila beralih jurulatih kepada Glen Mills. Bolt telah berjaya merangkul pingat perak dalam acara 200m (19.91s) dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Osaka, Jepun yang mana menyaksikan Tyson Gay merangkul tiga pingat emas dalam acara 100m (9.84s), 200m (19.76s) dan juga 4x100m (37.76s). Pada tahun 2007 juga, Bolt yang masih kurang digeruni telah berjaya memecahkan Rekod Kebangsaan Jamaica acara 200m milik Don Quarrie (19.89s) dengan kepantasan (19.86s). Sehubungan itu, Bolt yang telah ‘memenuhi syarat’ jurulatihnya untuk berlari dalam acara 100m pada tahun 2008. Pada bulan Julai tahun 2008, Usain Bolt mengejutkan juara dunia, Tyson Gay dari Amerika Syarikat apabila mengalahkannya dalam satu kejohanan jemputan Reebok di New York. Lebih manis, catatan masa 9.72s yang dilakukan ketika menewaskan Gay itu telah mengatasi rekod dunia milik rakan senegara, Asafa Powell, 9.74s. Beberapa minggu sebelum mengatasi rekod dunia itu, Bolt secara mendadaknya memperbaiki catatan peribadi 100m daripada 10.03s pada tahun sebelumnya kepada 9.76s di Kejohanan Olahraga Kebangsaan Jamaica di Kingston. Menuju sukan Olimpik di Beijing, China, Usain Bolt kini telah bersedia untuk membawa pulang pingat Emas ke tanah airnya setelah Don Quarrie dan Asafa Powell masing-masing telah gagal melakukan pada tahun 1976 dan 2004. Dalam sukan Olimpik di Montreal 1976, Quarrie hanya berjaya menduduki tempat kedua apabila gagal memintas Hasely Cawford di garisan penamat yang mana hanya ditentukan oleh keputusan ‘photofinish’. Asafa Powell juga gagal melakukan sedemikian walaupun telah diletakkan sebagai ‘favorite’ untuk memenangi acara 100m di Sukan Olimpik Athens. Powell hanya berjaya menduduki tempat kelima dan Justin Gatlin dari Amerika Syarikat telah berjaya menggondol pingat emas dengan catatan 9.85s dengan menewaskan atlit Portugal, Francis Obikwel (9.86s) dan Maurice Greene (9.87s) dari Amerika Syarikat. Usain Bolt telah membuktikan seluruh rakyat Jamaica yang hanya berkapasiti lebih kurang 3 juta orang apabila memenangi pingat Emas dan sekaligus memecahkan rekod sukan Olimpik dan Dunia dalam acara 100m dengan catatan 9.69s. Pemenang pingat perak, Richard Thompson (Trinidad and Tobago) jauh tertinggal di belakang tetapi masih berupaya mencatat rekod peribadi iaitu 9.89s. Walter Dix dari Amerika Syarikat pula menduduki tempat ketiga dengan masa 9.91s. Mengikut pandangan ramai, catatan 9.69s itu sebenarnya masih boleh direndahkan kerana pada jarak kira-kira 15 meter sebelum garis penamat, Bolt melakukan aksi mendepa tangan untuk merayakan kejayaannya yang mana jelas menjejaskan kelancaran pecutannya. Menurut analisis biomekanik rasmi yang dilakukan oleh IAAF, catatan masa itu dapat direndahkan sebanyak 0.02-0.03s jika Bolt berlari seperti atlit yang lain sehingga garis penamat. Namun ia tidak dihiraukan oleh Bolt kerana apa yang penting baginya adalah pingat Emas di sukan Olimpik. Tyson Gay yang mencatat 9.68s (bantuan angin) ketika ‘US Olympic Trial’ di Oregon, US dijangkakan bersaingan hebat dengan Bolt pada sukan Olimpik itu, namun Gay terkandas diperingkat separuh akhir akibat gagal mengembalikan dirinya pada prestasi yang terbaik selepas ditimpa kecederaan hamsting yang serius semasa berlari dalam acara 200m pada pemilihan peserta Olimpik Amerika Syarikat itu. Dalam acara 200m di Beijing, Bolt sekali lagi memperaga aksi menarik apabila memecahkan rekod dunia 19.32s milik Michael Johnson dengan catatan 19.30s. Bolt bersama-sama dengan Marvin Anderson, Michael Frater dan Asafa Powell menambah satu lagi pingat emas dalam acara 4x100m yang mana sekali lagi mengatasi rekod dunia milik kuartet Amerika Syarikat 37.40s yang dilakukan pada tahun 1992 dan 1993, dengan kepantasan 37.10s.
Musim 2009 sekali lagi menyaksikan kehebatan Usain Bolt yang baru menjangkau usia 23 tahun. Pada aksi jemputan 150m tanpa selekoh di Manchester, Bolt melakukan catatan 14.35dan meninggalkan pencabar yang lain jauh di belakang. Catatan itu juga merupakan satu ‘World Best Mark’ atau catatan terbaik dunia dalam acara 150m. Bolt layak ke Kejohanan Dunia apabila memenangi acara 100m dan 200m di Kejohanan Olahraga Kebangsaan Jamaica. Begitu juga dengan Tyson Gay yang juga telah mengungguli acara 100m dan 200m di Kejohanan Olahraga Kebangsaan Amerika Syarikat. Kejohanan Olaraga Dunia di Berlin, Germany menjanjikan satu pertembungan yang menarik antara Usain Bolt dan Tyson Gay yang juga merupakan juara bertahan dalam acara 100m, 200m dan 4x100m serta pemegang masa terbaik sebelum ke Berlin dengan catatan 9.77s dan 19.58s manakala Bolt merupakan pemegang rekod dunia serta juara Olimpik. Di Berlin, Bolt membuktikan yang dia masih lagi tidak boleh dicabar oleh sesiapa dan terus menggondol tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 4x100m. Bolt sekali lagi memecahkan rekod dunia dalam acara 100m dan 200m dengan catatan 9.58s dan 19.19s. Tyson Gay sekadar berpuas hati ditempat kedua dengan catatan rekod baru Amerika Syarikat, 9.71s. Walaubagaimanapun, catatan 9.71s Tyson Gay adalah sudah cukup baik memandangkan dia telah ditimpa kecederaan ‘groin’ seminggu sebelum kejohanan itu yang kemudian memaksanya menarik diri dalam acara 200m dan 4x100m. Usain Bolt melengkapkan pungutan pingat apabila membantu rangkaian 4x100m Jamaica bersama-sama dengan Steve Mullings, Michael Frater dan Asafa Powell memenangi pingat Emas dengan kepantasan 37.31s. Catatan masa 9.58s itu sememangnya diluar jangkaan apatah lagi apabila ia merupakan margin yang terbesar dalam sejarah rekod dunia lelaki sejah catatan elektronik diperkenalkan pada tahun 1960. Memetik satu temubual bersama lagenda olahraga dunia, Carl Lewis, dia secara terang-terangan mempersoalkan peningkatan menakjubkan Bolt dalam acara 100m iaitu daripada 10.03s (2007) kepada 9.69s (2008) dan kini 9.58s. Lewis berkata “sesiapa yang tidak mempersoalkan peningkatan mendadak si sang juara adalah orang yang bodoh”. Carl Lewis berani mengeluarkan kenyataan demikian kerana dia berkata melalui pengalamannya dalam sukan olahraga secara professional selama hampir 20 tahun.
Walaupun Usain Bolt memiliki bakat yang luar biasa dalam acara pecut, namun peningatan yang begitu mendadak itu membuatkan ramai yang mempersoalkan kredibiliti Agensi Anti Doping Dunia (WADA) yang mana sebelum ini seringkali dikatakan gagal mengesan bahan perangsang prestasi yang digunakan oleh atlit malahan penggunaan bahan itu telah berleluasa. Terdapat teori mengatakan yang ‘jika seratus orang saintis berusaha mencipta alat pengesan dadah perangsang yang baru, terdapat seratus orang saintis juga yang berusaha mencipta bahan persangsang baru dan berkualiti tinggi yang tidak boleh dikesan kehadirannya olah alat pengesan’. Teori ini telah disokong oleh sejarah kes lampau yang melibatkan penggunaan bahan perangsang prestasi ini. Umpamanya, Ben Johnson dari Kanada yang memecahkan rekod dunia dengan kepantasan 9.79s pada sukan Olimpik 1988 di Seoul, Korea Selatan telah dilucutkan gelaran manusia terpantas dunia apabila diuji positif menggunakan Anabolik Steroid. Namun Apa yang mengejutkan, Johnson dan jurulatihnya (Charlie Francis) sehabis-habisnya menafikan yang mereka terlibat dalam penggunaan bahan terlarang itu. Selepas beberapa bulan, Johnson telah muncul dan mengeluarkan kenyataan bahawa dia telah menggunakan bahan perangsang prestasi sejak tahun 1983 namun ia gagal dikesan walaupun kerap menjalani ujian dadah. Walaubagaimanpun, Johnson mendakwa bahawa ketika di Seoul, dia telah disabotaj oleh seseorang yang mendengkinya lalu meletakkan dadah tersebut dalam makanan atau minumannya. Hal ini telah dikukuhkan lagi oleh Charlie Francis yang mana mendakwa Johnson sebenarnya menggunakan dadah jenis Furazabol dan bukannya Anabolik Steroid seperti yang dikesan dalam sampel urine.
Situasi yang berlainan pula berlaku di Amerika Syarikat ketika itu yang mana telah berlaku ‘penutupan’ kes penyalahgunaan dadah oleh pegawai-pegawai dalam Agensi Anti Doping Amerika Syarikat (USADA). Apa yang berlaku adalah ramai atlit Amerika telah dikesan menggunakan bahan perangsang prestasi semasa kejohanan Pra-Olimpik Amerika Syarikat (US Olympic Trial) tetapi tidak ada sebarang tindakan telah diambil oleh mereka. Dalam kes berlainan, Tim Montgomery, seorang pelari pecut dari Amerika Syarikat telah digantung dan dilucutkan catatan rekod dunianya (9.78s) atas kesalahan dadah walaupun dia tidak pernah diuji positif menggunakan sebarang bahan perangsang walaupun kerap menjalani ujian samada semasa atau diluar pertandingan. Apa yang berlaku ke atas Montgomery adalah penghianatan seorang ‘supplier’ (Victor Conte) kepada Tim Montgomery yang mana telah memberitahu yang Tim telah menggunakan dadah yang mana telah dibekalkan olehnya untuk tujuan meningkatkan prestasi. Hasilnya Conte yang kesempitan wang itu telah menerima bayaran yang lumayan hasil daripada maklumat yang telah diberikan. Kes yang sama telah menimpa jaguh pecut wanita Amerika Syarikat, Marion Jones. Walaupun Jones menjalani ujian dadah empat kali seminggu, dia tidak pernah diuji positif sebarang bahan perangsang terlarang. Namun, Jones yang semakin tertekan dengan siasatan yang dilakukan keatasnya telah mengaku bersalah dan memberitahu yang dia menggunakan dadah sejak tahun 2000. Hal ini telah membawa kepada pelucutan dan pembatalan semua gelaran dan rekodnya dalam tempoh itu termasuk lima pingat Olimpik yang dimenanginya di Sydney pada tahun 2000 dan mengakibatkan dia telah didenda dan dipenjarakan. Melalui sejarah kes ini, dapatlah dijangkakan yang seseorang itu tidak semestinya bersalah hanya apabila dia dibuktikan bersalah melalui suatu ujian dadah yang dijalankan. Dalam sukan olahraga, adalah sangat asing untuk menyaksikan seseorang itu berprestasi begitu mendadak dalam sekelip mata tanpa bantuan bahan perangsang prestasi. Justeru, tidak hairanlan persoalan yang sentiasa bermain-main difikiran peminat setia acara pecut adalah; Adakah manusia mampu berlari sepantas seperti rekod dunia sekarang tanpa menggunakan sabarang bahan perangsang prestasi? Bukankah kajian terdahulu menunjukkan yang manusia hanya mampu berlari dalam kepantasan tertentu tetapi secara beransur-ansur? dan bukannya mendadak? Adakah bakat luar biasa yang ada pada seseorang menyebakan dia terlepas daripada tuduhan menggunakan bahan perangsang prestasi? Adakah jalan yang singkat untuk menjadi juara dunia tanpa bantuan daripada bahan perangsang prestasi? Adakah pemegang-pemegang rekod dunia acara 100m sebelum ini begitu lemah sehinggakan ada yang mampu menyingkirkan rekod dunia itu dengan begitu mudah sekali? Dan adakah pula selepas ini seseorang itu akan berlari 9.4s, 9.3s dan 9.2s dengan mudah? Pencapaian manusia kini sememangnya begitu ajaib!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan