1. KepentingannyaSelalunya, kemahiran merebut tidak diajar dan pemain-pemain Malaysia adalah sangat lemah dalam kemahiran ini. Merebut adalah penting untuk memperoleh bola. Walau bagaimanapun, kadang-kadang penahan tidak berjaya memperoleh bola, tetapi dia boleh memaksa penyerang mengurangkan kelajuannya atau kehilangan kawalan bola dan membuat kesilapan atau memaksa bola terkeluar daripada kawasan bermain. Ini adalah penting kerana ia memberi masa untuk pemain pertahanan menyusun semula barisan pertahanan dan bersedia menghadapi serangan.
2. Perkara-perkara untuk diingatiPerkara-perkara berikut perlu diingati apabila seseorang pemain pertahanan hendak merebut bola daripada pihak lawan:-
- Melihat bola dan jangan mengalihkan perhatian disebabkan oleh pergerakan kayu hoki atau tubuh badan yang dilakukan dengan tujuan membuat gerakan yang mengelirukan.
- Kekalkan kepala kayu hoki di tanah supaya mengurangkan jaraknya daripada bola. Ini membolehkan penahan bergerak dengan cepat sebaik sahaja dia mendapat peluang.
- Letakkan kayu hoki di tempat yang membolehkan pemain pertahanan bergerak dengan selesa untuk merebut bola daripada penyerang atau di dalam keadaan yang akan memaksa penyerang bergerak dengan cara tertentu dan ke arah tertentu. Sebagai contoh, anda mungkin meletakkan kayu hoki dalam keadaan yang akan memaksa penyerang menolak bola ke kiri dan menggunakan reverse stick atau memaksanya bergerak ke tempat tertentu yang boleh menyebabkannya berada dalam keadaan kurang selesa atau tersepit.
- Membuat gerakan yang mengelirukan dengan badan dan kayu hoki supaya penyerang melakukan kesilapan-kesilapan.
- Jangan berdiri dengan tapak kaki secara rata. Pemain pertahanan biasanya berdiri seperti ahli tinju dengan sebelah kakinya berada di hadapan, supaya dia boleh bergerak ke depan, ke belakang, ke kiri atau ke kanan dengan mudah. Gerakan kaki adalah penting untuk merebut bola dengan baik.
- Cuba berada di sebelah penyerang anda. Jika pemain pertahanan terpaksa menggunakan reverse sticknya untuk merebut, ia berada dalam keadaan yang merugikan.
- Pemain pertahanan tidak seharusnya merebut bola apabila penyerang mengawal bola dengan sepenuhnya. Ia sepatutnya mendesak penyerang dan memaksanya melakukan kesilapan-kesilapan sebelum anda merebut bola tersebut.
- Pergerakan pemain-pemain pertahanan tidak seharusnya dapat diteka oleh penyerang. Mereka mesti mengatur masa takel dengan baik dan bergerak dengan cepat dan pantas. Takel itu mesti dilakukan dengan baik supaya penyerang tidak boleh menolak pemain pertahanan atau kayunya ke tepi dan meneruskan serangannya.
- Di atas padang tiruan, semasa merebut di sebelah kanan (merebut dengan tangan kanan) atau di sebelah kiri (merebut dengan reverse stick) kayu hoki boleh digunakan dengan mendatar di atas padang. Untuk membolehkannya berbuat demikian pemain pertahanan mesti membongkokkan badannya lebih rendah ke tanah.
Perkara-perkara di atas adalah penting kepada semua jenis takel.