Sabtu, Jun 15, 2013

SEJARAH BOLA BALING (HANDBALL)

SEJARAH BOLA BALING


Bola baling merupakan gabungan daripada berberapa kemahiran asas bola jaring, bola keranjang dan bola sepak, kini mulai mendapat pengiktirafan sebagai salah satu permainan bertaraf antarabangsa yang diminati. Bola baling sudah menjadi permainan yang setanding dengan permainan-permainan lain dari segi popularitinya.

Permainan bola baling dipercayai bermula pada masa perang dunia pertama yang dikenali sebagai Torball   Pada tahun 1917 bilangan pemainnya ditingkatkan daripada tujuh orang kepada sebelas orang.   Bola baling dimainkan di padang bola sepak dengan menggunakan bola sepak.   Orang yang bertanggungjawab kepada penciptaan pemainan ini ialah seorang guru sukan Jerman bernama Heizer.  Bola ini kemudiannya dikenali sebagai Handball atau bola baling.

Pada tahun 1936, permainan bola baling ini telah dipertandingkan dalam Sukan Olimpik yang dilangsungkan di Berlin.  Pada tahun 1938 disebabkan masalah cuaca dan salji yang meliputi padang permainan hampir sepanjang tahun di negara-negara Eropah Timur, mereka telah mengubahsuai permainan ini untuk dimainkan di dalam dewan.   Bilangan dikurangkan  menjadi 7 (tujuh) orang sepasukan dan gelanggang permainan juga turut dikecilkan.  Pertandingan pertama menggunakan format ini ialah diKejohanan Dunia Pertama di Jerman pada tahun 1938.


Semasa perang dunia kedua, permainan bola baling terpaksa dihentikan sementara kegiatannya.   Bagaimanapun pada tahun 1946, Persekutuan Bola baling yang lama (1926) telah digantikan dengan sebuah pertubuhan baru yang dinamakan Kesatuan Bola Baling Antarabangsa (International Handball Federation – IHF).  Kesatuan ini terus menerajui sukan ini hingga sekarang.   Beberapa peraturan dan undang-undangnya telah diubahsuai dan juga digantikan dengan yang baru.

            Kejohanan Bola Baling Tertutup Sedunia pertama kali diadakan pada tahun 1954 dengan kemenangan bagi pasukan Sweden.   Pada tahun  1972 bola baling sekali lagi muncul di Sukan Olimpik  sebelum ini bola baling diketepikan walaupun telah muncul kali pertama pada tahun 1936.   Sejak penerimaannya kembali pada tahun 1972 bola baling terus menjadi acara yang wajib dipertandingkan  dalam perjumpaan sukan yang terbesar hingga sekarang.

Persekutuan Bola Baling Asia (Asian Handball Federation – AHF) telah ditubuhkan pada 1972 dan beribu pejabat di Kuwait .  Antara negara-negara yang menganggotai ialah Bangladesh, Bahrain, China, Hong Kong, India, Iran, Iraq, Jordan, Jepun, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Korea, Kuwait, Libya, Macau, Malaysia, Nepal, Oman, Pakistan, Filipina, Korea Utara, Qatar, Palestin, Syria. Thailand, Turkmenistan, Taiwan. Emiriyiah Arab Bersatu, Uzbekistan dan Yemen.

Bola baling mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun  1976, oleh Encik Lim Hock Han (Pengarah Sukan Universiti Malaya). Beliau memperkenalkan permainan  ini kepada satu kumpulan guru dan pelajar di beberapa buah sekolah di negeri Selangor.  Selepas itu sebuah jawatankuasa kerja, khusus untuk permainan bola baling telah dibentuk untuk tujuan menjadi badan menyelaras bagi mempopularkan pemainan ini khusus dikalangan pelajar sekolah, maktab dan universiti.  Kementerian Pendidikan serta Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) mengadakan pelbagai kursus dalam aspek pengenalan permainan, pengadilan dan kejurulatihan bola baling kepada guru-guru.  Tujuan nya ialah mengembangkan permainan ini ke sekolah – sekolah diseluruh negara.


Pada tahun 1981 Persatuan Bola Baling Selangor / Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan.  Pada tahun 1984 Persekutuan Bola Baling Malaysia telah ditubuhkan dengan Encik Cheah Hai Su (Pegawai dari Unit Pendidikan Jasmani dan Sukan, Kementerian Pendidikan) telah dilantik sebagai Presiden manakala Encik Kan Tong Leong sebagai Setiausaha.   Pada tahun 1986 Persekutuan Bola Baling Malaysia telah menjadi ahli gabungan Persekutuan Bola Baling Asia (AHF).

Dalam usaha untuk memasukkan permainan bola baling ke dalam kelendar MSSM, pelbagai kursus pengenalan, kepengadilan dan kejurulatihan telah dianjurkan oleh unit pendidikan jasmani dan sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia antaranya ialah :-

i)             Kursus Pengenalan/kepengadilan dan kejurulatihan telah diadakan di  Institut Aminuddin Baki pada tahun  1985
ii)            Kursus Jurulatih Bola Baling MSSM di TLDM, Lumut – 1985
iii)           Kursus Pengadilan Bola Baling di SM. Sains Selangor – 1986
dan lain –lain kursus berikutnya.


Pada tahun 1987 MSSM telah menganjurkan Pesta Bola Baling kali pertama bagi peringkat umur bawah 15 tahun (Lelaki / Perempuan) yang dikelolakan oleh MSS. Selangor di Kelang.   Pada tahun 1988 Pesta Bola Baling MSSM bagi peringkat umur bawah 18 dan 12 tahun (Lelaki / Perempuan) dikelolakan oleh MSS. Negeri Sembilan di Seremban. Seterusnya bola baling diterima sebagai salah satu permainan yang dipertandingkan di peringkat kebangsaan dibawah kelolaan MSS. Malaysia sehingga sekarang.  

Usaha juga telah dilakukan oleh Persekutuan Bola Baling Malaysia dengan menganjurkan Kejohanan diperingkat kebangsaan dan antarabangsa termasuklah Kejohanan Bola Baling antara kelab-kelab negara komanwel telah pun diadakan di Kuantan, Pahang pada tahun 1994.  Negara-negara yang mengambil bahagian terdiri daripada  Kenya, England, Nigeria,  New Zealand, Bangladesh, India dan Malaysia.

Bagi meningkatkan pengurusan dan pentadbiran persatuan, Setiausaha Persekutuan Bola Baling Malaysia Encik Aw Sai Hong telah dijemput untuk menghadiri seminar di London pada bulan Julai 1993.  Pada tahun yang sama seramai 36 peserta telah mengikuti kursus Kejurulatihan Bola Baling yang dikelolakan oleh Majlis Olimpik Antarabangsa.  Pada  tahun 1994 satu mesyuarat Eksekutif –CHA telah di Kuala Lumpur.  Selain daripada itu  Persekutuan Bola Baling Malaysia telah menghantar Encik Lam Fei Eng, seorang jurulatih tempatan untuk mengikuti kursus kejurulatihan antarabangsa di Universiti Leipzig.  Dari aspek teknikal pula, persatuan juga mempunyai pegawai yang terlibat secara langsung sebagai pengerusi pertandingan yang di pengerusi oleh Encik Tan Woon Por di Kejohanan Bola Baling antara kelab – kelab Komanwel pada tahun  1994. Pada tahun yang sama Encik M. Nadarajan telah dijemput oleh Jawatankuasa Sukan Asia di Hiroshima sebagai pemerhati dalam Kejohanan bola baling Sukan Asia. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

hak cipta terpelihara.

Ukur BMI Anda