UNDANG-UNDANG 14 – SEPAKAN PENALTI
Sepakan penalti dikenakan ke atas pasukan yang melakukan salah satu daripada sepuluh kesalahan yang dihukum dengan sepakan percuma terus di dalam kawasan penaltinya semasa bola di dalam permainan.Gol boleh dijaringkan terus dari sepakan penalti.
Tambahan masa adalah dibenar untuk sepakan penalti yang akan dibuat pada akhir setiap bahagian masa atau pada akhir tempoh masa tambahan.
Posisi Bola dan Pemain-pemain
Bola:
• mesti diletakkan di tanda penalti
Pemain yang membuat sepakan penalti:
• mesti dikenal pasti
Penjaga gol bertahan:
• mesti berada di atas garisan gol, menghadap penyepak, di antara tiang-tiang gol sehingga bola disepak
Kedudukan pemain-pemain selain daripada penyepak mesti:
• di dalam padang permainan
• di luar kawasan penalti
• di belakang tanda penalti
• sekurang-kurangnya 9.15 m (10 ela) dari tanda penalti
Prosedur
• Pengadil memberi isyarat untuk sepakan penalti dibuat setelah semua pemain berada di tempat menurut Undang-undang
• Pemain yang membuat sepakan penalti mesti menyepak bola ke hadapan
• dia mesti tidak memainkan bola kali kedua sehingga bola disentuh oleh pemain lain
• bola dikira di dalam permainan apabila disepak dan bergerak ke hadapan
Apabila sepakan penalti dibuat pada masa permainan biasa, atau masa yang dilanjutkan pada separuh masa atau masa penuh untuk membolehkan sepakan penalti dibuat atau dibuat semula, jaringan gol adalah diberi jika, sebelum melintasi di antara tiang-tiang gol dan di bawah palang gol:
• bola menyentuh satu atau kedua-dua tiang gol dan/atau palang gol dan/atau penjaga gol
Pengadil memutuskan bila sepakan penalti itu telah disempurnakan
Pelanggaran dan Hukuman
Jika pengadil memberi isyarat untuk sepakan penalti dibuat, dan sebelum bola berada di dalam permainan, salah satu dari situasi berikut berlaku:
pemain yang membuat sepakan penalti melanggar Undang-undang Permainan:
• pengadil membenarkan sepakan diteruskan
• jika bola masuk ke dalam gol, sepakan dibuat semula
• jika bola tidak masuk ke dalam gol, pengadil berhentikan permainan dan mulakan semula permainan dengan sepakan percuma tidak terus kepada pasukan bertahan di tempat di mana kesalahan berlaku.
penjaga gol melanggar Undang-undang Permainan:
• pengadil membenarkan sepakan diteruskan
• jika bola masuk ke dalam gol, jaringan dibenarkan
• jika bola tidak masuk ke dalam gol, sepakan dibuat semula
rakan pemain yang membuat sepakan melanggar Undang-undang Permainan:
• pengadil membenarkan sepakan diteruskan
• jika bola masuk ke dalam gol, sepakan dibuat semula
• jika bola tidak masuk ke dalam gol, pengadil berhentikan permainan dan mulakan semula permainan dengan sepakan percuma tidak terus kepada pasukan bertahan.
• jika bola melantun dari penjaga gol, palang atau tiang gol dan disentuh oleh pemain ini, Pengadil berhentikan permainan dan mulakan semula perlawanan dengan sepakan percuma tidak terus kepada pasukan bertahan di tempat di mana kesalahan berlaku.
rakan penjaga gol melanggar Undang-undang Permainan:
• pengadil membenarkan sepakan diteruskan
• jika bola masuk ke dalam gol, jaringan dibenarkan
• jika bola tidak masuk ke dalam gol, sepakan dibuat semula
seorang pemain dari kedua-dua pasukan menyerang dan yang bertahan melanggar Undang-undang Permainan:
• sepakan dibuat semula
Jika, selepas sepakan penalti dibuat:
penyepak menyentuh bola kali kedua (kecuali dengan tangannya) sebelum bola disentuh oleh pemain lain:
• sepakan percuma tidak terus adalah diberi kepada pasukan lawan, sepakan dibuat di tempat kesalahan berlaku. (rujuk Undang-undang 13 – Kedudukan Sepakan Percuma).
penyepak dengan sengaja memegang bola sebelum ianya disentuh oleh pemain lain:
• sepakan percuma terus adalah diberi kepada pasukan lawan, sepakan dibuat di tempat kesalahan berlaku (rujuk Undang-undang 13 – Kedudukan Sepakan Percuma).
Bola disentuh oleh anasir luar semasa ianya bergerak ke hadapan:
• sepakan dibuat semula
Bola melantun ke dalam padang permainan dari penjaga gol, palang gol atau tiang-tiang gol dan kemudiannya disentuh oleh anasir luar:
• pengadil berhentikan permainan
• permainan dimulakan semula dengan jatuhan bola di tempat bola disentuh anasir luar kecuali jika ianya disentuh dalam kawasan gol, maka jatuhan bola hendaklah dibuat di atas garisan kawasan gol yang selari dengan garisan gol di tempat paling hampir di mana bola berada semasa permainan diberhentikan .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan