Sabtu, Februari 13, 2010

Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dipinggirkan?

PENDIDIKAN Jasmani dan Kesihatan (PJK) sering dianggap sebagai mata pelajaran sampingan.Lebih mengecewakan lagi ia sering dianggap sebagai mata pelajaran `main-main'.

Oleh kerana mata pelajaran ini tidak dinilai dalam peperiksaan-peperiksaan kebangsaan, mata pelajaran ini dipandang sambil lewa sehingga akhirnya waktu mata pelajaran PJK digunakan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) mata pelajaran lain.

Keadaan bertambah buruk lagi apabila guru yang terlibat secara langsung atau tidak terhadap mata pelajaran ini dipandang rendah oleh guru yang mengajar mata pelajaran penting dalam peperiksaan.
Walaupun guru ini bekerja keras untuk melaksanakan pengajarannya dengan berlandaskan rancangan dan sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh kementerian, semangat itu luntur akibat tekanan-tekanan yang diterima.
Keadaan ini harus dibetulkan. Persepsi negatif ini perlu diketepikan.
Sebagai warga pendidik, kita perlu menyedari bahawa Falsafah Pendidikan Negara (FPN) menekankan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang daripada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dalam hal ini, aktiviti fizikal yang banyak dikaitkan dengan mata pelajaran PJK sesungguhnya begitu banyak menyumbang ke arah kecergasan jasmani yang turut mempengaruhi aspek intelek dan emosi.

Sebenarnya, salah satu matlamat mata pelajaran PJK ialah untuk menyediakan individu dengan pengetahuan fizikal serta penggunaan masa kesenggangan yang berfaedah.

Sebuah tempat di Peranchis iaitu Vanvas telah memperkenalkan pendidikan fizikal harian (DPE) untuk kanak-kanak sekolah rendah.

Program DPE ini meliputi sepertiga daripada masa persekolahan setiap hari sebagai satu usaha untuk meningkatkan perkembangan kanak-kanak dalam aspek psikologi, fizikal, mental dan sosial. Program yang sama diadakan di Jepun, Kanada dan Australia.

Hasil kajian mendapati kanak-kanak yang menjalani latihan fizikal ini menunjukkan tahap kecergasan yang baik.

Konsep kendiri mereka juga didapati lebih positif, keputusan mata pelajaran lain turut memberangsangkan.

Secara keseluruhannya, kegiatan dalam Pendidikan Jasmani tertumpu kepada perkembangan tubuh badan termasuk perkembangan fizikal, sosial dan mental.
Oleh itu mata pelajaran PJK perlulah dilaksanakan dengan perancangan teliti termasuk mengambil kira keperluan semasa dan kebolehan pelajar.

Sekiranya matlamat dan objektif P&P PJK ini tidak dapat dilaksanakan di sekolah-sekolah dengan cemerlang, dikhuatiri akan lahir generasi yang kurang aktif dalam membentuk diri ke arah kesejahteraan fizikal, mental dan emosi.

Justeru, usaha-usaha untuk melahirkan golongan pendidik yang benar-benar berwibawa dan serasi dengan mata pelajaran Pendidikan Jasmani perlu dikembangkan, sama ada melalui kursus-kursus jangka pendek, mahupun jangka panjang.

Jurusan PJK juga perlu diperluaskan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi dengan kuota yang lebih besar. Semoga dengan itu, semua guru PJK akan dididik dan dibekalkan ilmu perguruan yang sempurna dan mencukupi untuk berfungsi secara efektif demi merealisasikan kehendak FPN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

hak cipta terpelihara.

Ukur BMI Anda