Ahad, Februari 21, 2010

Kegemilangan sukan sekolah akan dikembalikan, kata TPM

PETALING JAYA 20 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kegemilangan sukan dikembalikan ke sekolah-sekolah memandangkan ia adalah institusi utama mengembangkan bakat sukan di peringkat akar umbi.
"Sudah hampir 10 atau 20 tahun sukan di sekolah tidak diutamakan, apa sebabnya tidak diketahui. Sehinggakan di sekolah-sekolah, sukan bukan sesuatu yang dibanggakan berbanding zaman saya muda dulu.
"Ketika itu, sukan suatu yang kita pandang sebagai acara yang menceriakan dan menyeronokkan. Saya telah buat keputusan untuk kembalikan semula kegemilangan sukan di sekolah kerana pembangunan sukan negara bermula di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah SAM-100Plus 2009 anjuran Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan, menggariskan lima unsur penting untuk dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat tersebut.
Antaranya, beliau telah mengarahkan Bahagian Seni, Sukan dan Ko-Kurikulum di Kementerian Pelajaran supaya dirombak dan meletakkan sukan berasingan daripada yang lain.
"Kita akan wujudkan pegawai atau pengarah tertentu yang akan ditetapkan untuk menjaga pembangunan sukan di sekolah,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

hak cipta terpelihara.

Ukur BMI Anda